Wednesday, 17 June 2020

Artikal Strategi Memastikan Covid-19 Tidak Berlaku Lagi Di Masa Akan Datang

 Oleh: Iman, Naurah, Ainaa, Khaleda, Phan Rennie, Norsyafiqah

Sejak kebelakangan ini, seluruh negara telah digemparkan dengan berita penyakit berjangkit, COVID-19 yang semakin menular dan berterusan secara global yang berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Kita dapat menyaksikan peningkatan kes-kes pandemik ini di seluruh negara dan amat membimbangkan ramai pihak terutama rakyat Malaysia. Pada hari ini, Malaysia telah  mencatatkan rekod sebanyak 7,604 kes kumulatif dan sebanyak 115 kes kematian disebabkan oleh COVID-19. Penyakit berjangkit dikategorikan sebagai subset penyakit-penyakit yang boleh ditularkan dan boleh berjangkit dengan orang lain. Ia juga dapat merebak dengan pantas melalui titisan udara dan juga melalui sentuhan fizikal. Hal ini perlu diambil serius kerana ia umpama duri dalam daging yang dapat memusnahkan kita dalam senyap. World Health Organization (WHO) juga telah memberikan kenyataan bahawa kes COVID-19 ini tidak akan ada penawarnya dan masyarakat perlu bersedia untuk hidup dalam norma baharu. Walaubagaimanapun, kita sewajarnya mengenal pasti strategi terbaik untuk memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi di masa akan datang. Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.
Pada tahun 2018, World Health Organization (WHO) telah mengenal pasti senarai penyakit yang dianggap sebagai keutamaan untuk penyelidikan lebih lanjut yang disebut sebagai R&D Blueprint. Salah satu penyakit ini hanya disebut sebagai ‘penyakit X’. Penyakit misteri yang belum diberi nama itu telah disenaraikan bagi menunjukkan bahawa kemungkinan akan wujud penyakit di masa hadapan, iaitu COVID-19 yang sedang dihadapi oleh semua masyarakat seluruh dunia kini, yang harus disiapkan oleh organisasi penyelidikan dengan sebaik mungkin. R&D Blueprint diaktifkan adalah untuk mempercepat diagnostik, vaksin, dan terapi untuk koronavirus novel ini. Pada 30 Januari 2020, berikutan cadangan Jawatankuasa Kecemasan, Ketua Pengarah WHO menyatakan bahawa wabak tersebut sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC). Pada 11 hingga 12 Februari 2020, para saintis dunia kemudian telah bertemu di Ibu Pejabat Organisasi Kesihatan Dunia di Geneva untuk menilai tahap pengetahuan terkini mengenai virus baru ini, menyetujui persoalan penyelidikan kritikal yang perlu diwajibkan segera, dan mencari jalan untuk mempercepat dan membiayai penyelidikan yang utama bagi mengurangkan wabak ini. Perbincangan tersebut membawa kesepakatan mengenai dua tujuan utama iaitu tujuan pertama adalah mempercepat penyelidikan inovatif untuk membantu membendung penyebaran wabak dan memudahkan perawatan bagi mereka yang terjejas. Seterusnya, tujuan kedua adalah untuk menyokong keutamaan penyelidikan global dengan harapan dapat belajar dari tindak balas pandemik semasa untuk lebih bersedia menghadapi wabak yang tidak dijangka seperti COVID-19 ini.
Selain itu, bagi memastikan COVID-19 tidak berlaku di masa akan datang adalah dengan meneruskan pelaksanaan Program Vaksinasi. Vaksin adalah sejenis agen yang bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia. Kebanyakan penyakit berjangkit boleh menyebabkan kecacatan atau kematian, tetapi dengan adanya teknologi, vaksin dicipta bagi mengatasi masalah tersebut. Imunisasi vaksin secara suntikan sama ada melalui otot, di bawah kulit atau melalui mulut adalah cara paling efektif mencegah dan mengurangkan penyakit berjangkit. Ketua Hal Ehwal Saintifik dan Kesihatan Awam, Hal Ehwal Perubatan Global GlaxoSmithKline (GSK Vaksin) di Belgium, Dr Otavio Cintra, berkata, “Vaksin berupaya mencegah penyakit dan pengambilan dalam kelompok masyarakat yang besar membolehkan sesuatu komuniti itu memiliki kehidupan yang sihat”.
Walaupun belum adanya vaksin untuk COVID-19, program vaksinasi berskala besar pada umumnya sangat efektif dalam meminimumkan kadar penyakit. Oleh yang demikian, pelbagai pihak antarabangsa kini berlumba-lumba dalam penghasilan vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19. Penghasilan vaksin yang selamat digunakan manusia biasanya mengambil masa bertahun, namun ahli virologi Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit percaya, proses itu boleh dipercepatkan. Hal ini dapat dilihat apabila beliau berkata bahawa “Kemajuan teknologi membolehkan kita menghasilkan vaksin cubaan (candidate vaccine) dalam masa beberapa minggu sahaja, berbanding kaedah tradisional yang mengambil masa bertahun”. Walaupun vaksin cubaan dapat dihasilkan dalam beberapa minggu sahaja, proses penilaian untuk keselamatan penggunaannya ke atas manusia tetap akan mengambil masa yang lama. Pakar imunologi Datuk Dr Musa Nordin berkata walaupun terdapat keperluan mendesak untuk menghasilkan vaksin COVID-19 dengan segera, harus diingatkan penghasilan vaksin merupakan proses yang membabitkan kos dan risiko tinggi. Beliau juga berkata, “Secara puratanya, ia mengambil masa sepuluh tahun dari tempoh ujian pra-klinikal ke Fasa 1-3 ujian klinikal sebelum keberkesanan dan keselamatan sesuatu vaksin itu dapat dibuktikan. Hanya selepas itu badan-badan penyelia dapat meluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia. Bagaimanapun, pengalaman dalam penghasilan vaksin cubaan bagi MERS dan SARS dapat membantu mempercepatkan penghasilan COVID-19”.
Bagaimanakah vaksin mampu mencegah penularan COVID-19? COVID-19 dikategorikan sebagai keluarga virus Korona. Di mana virus ini telah menyerang dunia sejak 1960. Nama wabak yang besar adalah Common Flu, SARS, dan MERS-Cov. Dalam kes wabak yang baru muncul ini, vaksin sangat membantu bagi mengurangkan COVID-19 daripada terus merebak. Jika dilihat pada tahun 1952, polio epidemik merupakan salah satu penyakit berjangkit yang mengakibatkan 3145 kematian di US, dan akhirnya pada tahun 1955, vaksin polio terhasil. Fakta bahawa polio kini telah dihapuskan 99% adalah contoh yang jelas mengenai kesan vaksinasi dalam mengawal penyebaran penyakit. Oleh itu, tidak mustahil pandemik COVID-19 juga dapat dikawal penyebarannya melalui vaksin di masa akan datang. Kata Oliver Rosenbauer, pegawai komunikasi untuk Inisiatif Pembasmian Polio Global (GPEI), kepada Global Citizen, “Vaksin adalah salah satu intervensi kesihatan yang paling efektif yang pernah dilakukan dengan pelbagai cara dari sudut ekonomi atau kemanusiaan”. Justeru itu, pihak kesihatan awam dan swasta global juga berperanan penting dalam memperkuat sistem kesihatan di negara berpendapatan rendah dan memberikan vaksin serta pengetahuan berkaitan kepentingan vaksin di seluruh dunia. Perkara ini dapat menyumbang untuk berada dalam keadaan yang lebih selamat sekiranya wabak penyakit baru berlaku serta bagi memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi di masa akan datang.
Di samping itu, sistem kesihatan juga hendaklah diperkasakan di seluruh dunia  tanpa mengira negara. Apa yang kita lihat sekarang ialah negara bersikap pentingkan diri sendiri, dengan membandingkan kes yang berlaku dengan niat mahu menunjuk-nunjuk bahawa negara mereka adalah lebih hebat, walhal tempat hanyalah salah satu faktor yang mempengaruhi penyebaran penyakit ini. Kita juga dapat melihat bahawa betapa sukarnya sesetengah negara mendapatkan keperluan wajib bagi memberikan kesihatan kepada rakyatnya. Ini dapat dilihat dengan sesetengah hospital kehabisan alatan pelindungan yang diperlukan untuk melindungi doktor dan jururawat yang memerlukannya untuk merawat pesakit, dengan terpaksa membasuh dan memakai semula peralatan itu, atau terus-menerus memakai peralatan yang sama selama mereka bekerja tanpa rehat. Wabak ini menonjolkan bahawa pentingnya sebuah badan kesihatan global, seperti World Health Organization (WHO), dalam membantu negara-negara dalam menangani pandemik ini. Wabak ini juga menunjukkan betapa bahayanya wabak berjangkit dan betapa pentingnya langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mengurangkan penyebaran wabak ini di tempat-tempat awam.  Dengan berlakunya wabak ini, diharapkan bahawa semua negara dapat membuka mata dan mula bersiap-siaga untuk berhadapan wabak yang mungkin berlaku pada masa depan.
Beralih kepada strategi yang terakhir, iaitu, melindungi alam semulajadi. Umum mengetahui, antara punca utama penyebaran koronavirus ini adalah bermula daripada jangkitan yang diperolehi melalui hidupan liar seperti kelawar dan ular. Apabila seseorang itu memakan hidupan liar ini, hasilnya akan menyebabkan berlakunya jangkitan virus daripada haiwan tersebut kepada manusia. Disebabkan perkara kecil ini, sekurang-kurangnya 5.5 juta orang telah terjangkiti dan lebih 350,000 kematian dicatatkan. Oleh itu, bagi mengawal jangkitan virus ini daripada terus tersebar bagai tiada penghujungnya, kita perlulah memasang strategi yang terakhir ini. Persoalannya, bagaimanakah strategi ini mampu membantu kita dalam memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi pada masa akan datang?
Ekosistem dan sistem badan manusia mempunyai fungsi yang hampir sama. Kedua-duanya memerlukan sumber dan persekitaran yang bersih dan sihat bagi memastikan mereka mampu untuk melawan penyakit sekaligus menjadikan populasi mereka terjamin. Tambahan pula, dengan adanya ekosistem yang baik, ianya memberikan pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia seperti sumber air yang bersih, tanah yang subur dan juga sumber makanan yang pelbagai. Namun, aktiviti manusia yang berlaku seperti pembalakan haram dan perlombogan telah menjejaskan ekosistem yang sedia ada. Hal ini menyebabkan hidupan liar terpaksa berkongsi habitat yang tersisa bersama-sama lalu mengalami tekanan dan sakit serta bercenderung untuk lebih rapat dan bersentuhan dengan manusia. Dalam hal yang berlaku sekarang ini, penyakit antara hidupan liar dan manusia akan saling bertukar, seterusnya menjadikan penyakit bawaan haiwan semakin kerap berlaku disebabkan oleh pemusnahan alam.
Untuk melindungi alam semulajadi, pihak kerajaan dan jabatan yang terlibat perlulah bertegas dalam usaha memelihara habitat hidupan liar ini daripada dicerobohi oleh individu atau kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya perkara ini masih berlaku, bukan hanya habitat hidupan liar makin terganggu dan terancam, malah hal ini juga akan mengakibatkan perubahan iklim yang drastik dan akan mempengaruhi penyebaran penyakit di seluruh dunia. Selain itu juga, lebih daripada 1 juta spesis hidupan liar berisiko pupus akibat daripada kegiatan manusia. Melihat kepada kesan ini, United Nations (UN) akan merangka pelan untuk dijadikan panduan dalam usaha pemuliharaan alam dalam jangka masa 10 tahun, di mana ianya merupakan tempoh kita untuk melambatkan pemanasan global, melindungi ekosistem dan menyelamatkan spesis yang terancam. Meskipun terdapat pelan dan penguatkuasaan undang-undang dalam melindungi alam semulajadi ini, sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, kita perlulah memainkan peranan kita dengan turut bersama menjaga alam semulajadi di sekeliling kita. Tahap kesedaran mengenai kepentingan alam semulajadi perlulah dipupuk sedari awal lagi dalam diri setiap individu. Maka, dengan wujudnya strategi yang terakhir ini, diharapkan agar kita mampu untuk membendung penyakit ini daripada menyerang negara pada masa akan datang.
Kesimpulannnya, pandemik COVID-19 yang merebak kepada lebih 200 buah negara dan mengakibatkan lebih 5 juta kes pesakit di seluruh dunia telah mendatangkan pelbagai impak negatif kepada manusia. Penularan wabak ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu, tetapi juga mempengaruhi kehidupan sosial masyarakat serta mengancam sektor ekonomi negara. Oleh itu, strategi-strategi seperti kajian dan penyelidikan korona virus, pelaksanaan program vaksin, memperkasakan sistem kesihatan serta melindungi alam semula jadi adalah sangat penting untuk mengawal dan mencegah COVID-19 daripada berlaku lagi pada masa akan datang. Strategi-strategi ini harus dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa walaupun situasi COVID-19 telah bertambah baik. Hal ini demikian kerana sejarah kesihatan membuktikan bahawa kebimbangan dan kecemasan akibat jangkitan pandemik sesuatu penyakit tidak akan berpanjangan. Kebimbangan dan kecemasan tersebut akan bertukar menjadi kealpaan dan sikap ambil mudah setelah berjaya membendung faktor jangkitan penyakit dan mengurangkan faktor penyebabnya. Justerunya, sikap ambil mudah ini akan kembali menjejaskan amalan hidup sihat manusia dan menyebabkan program-program pencegahan gagal dilaksanakan secara berkesan.

RUJUKAN
Haliza Abdul Rahman. 2020. Amalkan perkara asas cegah Covid-19. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/73737/KHAS/Pendapat/Amalkan-perkara-asas-cegah-Covid-19  [24 Mei 2020].
Kiley, P. 2020. Expert: To prevent pandemics like COVID-19, ‘take care of nature’. Conservation International. https://www.conservation.org/blog/expert-to-prevent-pandemics-like-COVID-19-take-care-of-nature  [23 Mei 2020].
Kurlander, C. 2020. The Deadly Polio Epidemic and Why It Matters for Coronavirus. https://www.discovermagazine.com/health/the-deadly-polio-epidemic-and-why-it-matters-for-coronavirus  [25 Mei 2020].
Lock, H. 2020. How Can We Prevent a Pandemic Like COVID-19 From Happening Again? https://www.globalcitizen.org/en/content/how-prevent-covid-19-pandemic-happening-again/  [26 Mei 2020].
Mutakhir. 2020. Vaksin Covid-19 dijangka siap awal. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/02/543780/vaksin-covid-19-dijangka-siap-awal  [25 Mei 2020].
Sariha Mohd Ali. 2019. Vaksin Cegah Penyakit. BHOnline. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/12/638520/vaksin-cegah-penyakit  [26 Mei 2020].
Wikipedia. 2020. COVID-19 pandemic in Malaysia. https://en.wikipedia.org/wiki/COVID-19_pandemic_in_Malaysia [27 Mei 2020].
Worldometers. 2020. COVID-19 Coronavirus Pandemic. https://www.worldometers.info/coronavirus/ [27 Mei 2020].
World Health Organization. 2020. R&D Blueprint and COVID-19. https://www.who.int/teams/blueprint/covid-19 [28 Mei 2020].


VIDEO NILAI-NILAI MURNI (UKM NURSING 2020)


Oleh: Iman, Naurah, Ainaa, Khaleda, Phan Rennie, Norsyafiqah

Video ini memaparkan tentang nilai-nilai murni kasih-sayang, kerajiran, kejujuran, berjimat-cermat, bekerjasama dan keadilan yang boleh dicontohi oleh masyarakat dan diamalkan dalam kehidupan seharian.




Friday, 1 May 2020

Bahan Bantu Mengajar : MY HEART diy

Idea MY HEART diy ini direka bukan sahaja berfungsi sebagai bantal kecil atau patung mainan kanak-kanak, malahan berfungsi sebagai bahan bantu mengajar agar dapat memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam mengetahui dan memahami bentuk asas jantung manusia.

MY HEART diy

Di sini, saya kongsikan cara-cara untuk membuatnya kepada rakan-rakan pembaca sekalian. 
Selamat mencuba....!!!


BAHAN-BAHAN:

  • Kain/selendang yang tidak mahu digunakan lagi
  •  Pensel/pen
  •  Gunting
  • Jarum menjahit
  • Benang pelbagai warna
  •  Berus lukisan
  • Warna Poster berwarna biru dan merah

CARA-CARA MEMBUAT MY HEART diy :

Rajah 1.1
1. Kumpulkan bahan-bahan seperti dalam Rajah 1.1.

Rajah 1.2
2. Cari gambar/lukisan sebagai contoh dan kenal pasti bentuk-bentuk yang ada untuk menghasilkan sebuah bantal/patung mainan berbentuk jantung.

Rajah 1.3
3. Lipat kain tersebut menjadi dua bahagian. Lukis bentuk-bentuk tersebut di atas kain dan kemudian guntingkannya seperti dalam Rajah 1.3.

Rajah 1.4
4. Jahit setiap bahagian seperti yang ditunjukkan dalam rajah 1.4 dan terbalikkan. Kemudian, masukkan kain lebihan ke dalamnya supaya menjadi bantal.

Rajah 1.5
5. Di samping itu, jahit kain berwarna merah dan biru seperti dalam Rajah 1.5 supaya kelihatan lebih kemas.

Rajah 1.6
6. Jahit bahagian luar untuk memperkemas hasil anda seperti dalam Rajah 1.6 bagi semua bentuk yang telah siap.

 Rajah 1.7
7. Warnakan hasil anda seperti dalam Rajah 1.7.

Rajah 1.8
8. Cantumkan semua bahagian sehingga menjadi seperti dalam rajah 1.8.


SELESAI.....! 😄😄

Tuesday, 28 April 2020

10 Link Teknologi dan Inovasi

Berikut adalah 10 link video yang rakan-rakan boleh lihat untuk meluaskan ilmu pengetahuan tentang teknologi-teknologi terkini yang beinovasi dalam bidang kejururawatan atau perubatan. Semoga bermanfaat....! =)


1. Extreme Lateral Interbody Fusion (X-LIF)

X-LIF merupakan teknologi yang digunakan dalam proses pembedahan tulang belakang.

2. Hybrid Assistive Limb (HAL)

HAL merupakan teknologi robot yang digunakan dalam rawatan rehabilitasi bagi membantu pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang lumpuh atau lemah anggota badan untuk pulih.

3. Melafind

Melafind merupakan alat tidak invasif yang membantu dalam memberikan maklumat tambahan kepada ahli dermatologi semasa pemeriksaan kulit melanoma.

4. Teknologi Generasi Kelima (5G)

Teknologi 5G dalam bidang perubatan akan membolehkan pesakit kritikal diberi rawatan dengan lebih efisien dan sewajarnya sekaligus meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa. Hal ini kerana Teknologi 5G dapat mempercepatkna diagnosis dilakukan dari dalam ambulans.

5. Cyberknife Robotic Radiosurgery

Cyberknife adalah teknologi yang menawarkan rawatan tidak invasif, radiasi tepat, dan tanpa rasa sakit dalam merawat sel kanser dan sel bukan kanser.

6. Liquid Biopsy

Liquid Biopsy merupakan teknologi yang mampu mengesan sel kanser seseorang individu hingga 30 tahun lebih awal.

7. Jaringan Jantung dari Daun Bayam

Jaringan jantung dari daun bayam merupakan inovasi yang dilakukan oleh para ilmuwan. Mereka berhasil mengubah daun bayam menjadi jaringan jantung manusia yang berdetak.

8. Phacoemulsification

Phacoemulsification merupakan teknik moden yang digunakan dalam pembedahan katarak yang selamat dan hanya mengambil masa 20-30 minit.

9. Tulang sintetik dari kulit kerang  

Tulang Sintetik dari Kulit Kerang ini dikatakan mampu mempercepatkan pertumbuhan tulang baharu terutama dikalangan pesakit yang terbabit dalam kemalangan.

10. Robot Penghantar Makanan

Robot penghantar makanan ini dicipta untuk menghantar makanan kepada pesakit sekaligus bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus antara staff dan pesakit di pusat kuarantin.

Monday, 27 April 2020

10 keping gambar teknologi yang berinovasi + penerangan

Berikut adalah 10 keping gambar teknologi terkini yang berinovasi berkaitan dalam bidang kejururawatan atau perubatan.


1. Pil Ubat Yang Ditelan Dan Dikawal Melalui Telefon
Penyelidik di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Draper, dan Bringham and Women’s Hospital telah mencipta sebuah pil mengandungi ubat yang boleh ditelan dan dikawal menggunakan teknologi Bluetooth tanpa wayar yang boleh mengesan keadaan sekitar seperti jangkitan, alahan, atau keadaan lain di dalam badan selama sekurang-kurangnya sebulan. Pil ini dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D. Ia boleh digunakan untuk melepaskan ubat-ubatan bagi merawat pelbagai penyakit, terutamanya yang memerlukan rawatan dalam tempoh lama. Antara kedaan yang boleh mendapat manfaat dari teknologi ini ialah pesakit dengan sistem imun lemah seperti menjalani kemoterapi atau mengambil ubat penindas imun (immunosuppressive drugs). Sistem imun yang rendah membuatkan mereka lebih tertedah kepada jangkitan. Dengan adanya alat pengesan pada pil yang ditelan, antibiotik boleh dilepaskan dengan lebih awal. 

2. Bacaan Gula Melalui Kanta Lengkap/Sentuh
Mengesan bacaan gula melalui kanta lengkap merupakan idea pertama yang dibentangkan oleh Google pada 2014. Namun, lapor Science Alert melaporkan bahawa tiada perkembangan menyusuli pengumuman itu. Walau bagaimanapun, Jihun Park dan saintis-saintis dari Institut Sains dan teknologi Nasional Ulsan di Korea Selatan telah menghasilkan prototaip dan sudah menguji kanta lekap mereka pada arnab-arnab. Hasil ujian menunjukkan bahawa arnab-arnab itu tidak mengalami kesan negatif. Kanta lekap yang dihasilkan lembut dan mudah dilentur dan ia terdiri daripada beberapa komponen sahaja supaya pesakit kencing manis berasa selesa. Ia juga tidak mudah pecah dan tidak mempunyai bahan tebal yang mampu menghalang daya penglihatan seseorang. . Kanta lekap itu dilengkapi dengan sensor yang memantau kadar gula, LED hijau, antena, dan alat penerus yang semuanya dicantumkan menggunakan wayar yang sangat halus sekali. Antena dan alat penerus akan menerima isyarat frekuensi radio daripada pemancar, dan akan menjadikannya sebagai tenaga elektrik bagi monitor dan LED. Apabila kadar gula dalam darah pesakit meningkat, LED dimatikan. Kanta lekap ini juga dikatakan memberi perangkaan yang tepat walaupun kadar gula dalam titisan air mata antara lima hingga 10 kali lebih rendah.

3. Teknologi Generasi Kelima (5G)
Penggunaan teknologi generasi kelima (5G) dalam bidang perubatan akan membolehkan pesakit kritikal diberi rawatan dengan lebih efisien dan sewajarnya sekali gus meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa. Pemindahan data pesakit dapat dilakukan secara nyata (real-time) ke hospital dari lokasi pesakit itu didiagnosis. Hal ini membantu paramedik untuk mendiagnosis pesakit dengan lebih cepat dengan menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan imbasan ultrabunyi (ultrasound) daripada dalam ambulans dan imej imbasan itu akan dipaparkan menerusi skrin yang boleh dilihat di skrin tablet atau komputer di hospital. Menerusi teknologi  5G ini juga, proses mendapatkan keputusan diagnosis menggunakan ECG akan menjadi lebih cepat dan jimat masa kepada hanya satu minit berbanding dua ke tiga minit (menerusi teknologi 4G atau 3G). 

4. 3D Bioprinting
Penyelidik di Universiti Tel Aviv di Israel telah menggunakan tisu manusia untuk mencipta jantung cetak 3D pertama dunia yang membawa harapan baru kepada pesakit yang mengalami kegagalan jantung. Pada tahun 2013, seorang pakar kardiologi telah menyiapkan "jantung" yang pertama kali dicetak 3D, yang bukan sahaja kelihatan seperti jantung manusia, tetapi juga berdenyut. Walau bagaimanapun, "jantung" ini diperbuat daripada plastik dan hanya boleh digunakan untuk mengkaji prosedur pembedahan.

5. Clustered Regularly Interspaced Short Palindromic Repeats (CRISPR)
Seorang saintis China, He Jiankui telah menggegarkan dunia pada tahun 2018 apabila beliau mendakwa bertanggungjawab ke atas kelahiran dua bayi pertama yang disunting secara genetik. CRISPR adalah satu kaedah yang mudah untuk mengubah DNA yang mendapat perhatian sekitar tahun 2012. Sejak pengenalannya, teknologi ini telah digunakan dalam rawatan eksperimen yang kini telah memasuki ujian terhadap manusia, serta digunakan dalam sains makmal setiap hari. Pada tahun 2019, ujian ke atas manusia telah dijalankan di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah untuk melihat bagaimana teknologi penyuntingan gen ini berfungsi dalam gangguan darah seperti anemia sel sabit dan beta talasemia. Ujian peringkat awal mendapati keputusan positif dalam kedua-dua pesakit yang dirawat setakat ini.

6. Sistem Pembedahan da Vinci
Sistem Pembedahan da Vinci adalah sistem pembedahan robotik yang dicipta oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, Intuitive Surgical. Sistem da Vinci terdiri daripada mesin bedah yang lazimnya berada di dalam bilik yang sama dengan pesakit, serta tempat pembedahan pesakit dengan empat lengan robot interaktif yang dikawal dari mesin. Lengan robot ini akan meniru pergerakan pakar bedah yang mengawalnya menggunakn mesin. Sejak bertahun-tahun, sistem ini telah mengurangkan kesilapan manusia kepada hampir sifar. Sistem ini telah menjadi sangat popular sepanjang dekad yang lalu dan lebih daripada 1.5 juta pembedahan telah dilaksanakan di seluruh dunia menggunakan sistem ini.

7. Cyberknife
Pisau Siber pertama telah dibangunkan pada awal tahun 1992 oleh seorang profesor Amerika iaitu John Adler, yang pernah mengajar di Stanford University. Semasa bekerja menggunakan sistem, pencipta menetapkan dirinya matlamat untuk mengatasi kekurangan yang sedia ada yang merupakan ciri-ciri peranti radiosurgeri yang sudah diketahui oleh dunia. Pada masa yang sama dia berjaya menggabungkan sistem kawalan ke atas imej dan "tangan" robot terkawal. Tujuh tahun selepas satu siri ujian, peranti akhirnya bekerja, dan pesakit pertama adalah orang yang mempunyai bengkak leher dan kepala. Selepas berjaya melakukan lebih daripada seratus operasi, sistem telah terbukti dengan baik. Tepat lima tahun kemudian, ia telah digunakan sepenuhnya untuk rawatan neoplasma dari mana-mana penempatan.

8. Rekod Perubatan Elektronik
Pengenalan telemedicine, teknologi mudah alih dan hospital menggantikan kekurangan sistem pengurusan pangkalan data maklumat yang komprehensif dan kekurangan rangka kerja pengawal seliaan yang sesuai. Interaksi maklumat di semua peringkat dapat membantu kedua-dua doktor dan pesakit yang tinggal di daerah pedalaman yang terpencil, di mana ini akan sangat relevan. Salah satu ciri paling popular teknologi komputer perubatan moden ialah rekod pesakit elektronik. Mereka memberikan tumpuan semua maklumat yang diperlukan dalam satu pangkalan data tunggal untuk menyimpan data elektronik yang unik. Perkembangan teknologi penstriman menyediakan perkembangan pesat kaedah untuk meramalkan keadaan yang mengancam kesihatan pesakit. Ini dilakukan dengan menganalisis dalam masa nyata sejumlah besar parameter pesakit. Hal ini juga dapat mengurangkan jumlah laporan perubatan kertas.

9. DEKA
DEKA merupakan sebuah lengan robot yang dibangunkan oleh Dean Kamen yang juga merupakan pencipta Segway (mesin pengangkut peribadi). Lengan ini akan membolehkan individu yang kehilangan anggota badan untuk mengawal lengan prostetik ini dengan hanya menggunakan fikiran sendiri. Ia pada mulanya direka untuk memberikan penggantian yang lebih baik untuk askar yang kehilangan anggota yang kembali ke Negara asalnya sebagai veteran perang. DEKA ini turut mendapat pengiktirafan daripada FDA, seterusnya membolehkan teknologi ini dijual secara komersial.

10. Battlefield Extraction Assist Robot (BEAR)
              BEAR merupakan satu robot yang mampu membawa keluar tentera yang cedera dari zon bahaya seperti medan perang, kawasan nuclear, kontaminasi bahan kimia dan bangunan runtuh. Ini akan menghapuskan sebarang risiko tambahan kepada manusia untuk menyelamatkan manusia lain yang cedera. Robot ini boleh dikendalikan daripada jarak jauh dan dilengkapi dengan sensor yang canggih. Robot ini juga mampu melintasi kawasan berhalangan dengan mudah dengan bantuan gabungan gyroskop dan motor kawalan computer yang memberikan robot kestabilan.

Semoga Bermanfaat =)



Artikal Strategi Memastikan Covid-19 Tidak Berlaku Lagi Di Masa Akan Datang

 Oleh: Iman, Naurah, Ainaa, Khaleda, Phan Rennie, Norsyafiqah Sejak kebelakangan ini, seluruh negara telah digemparkan dengan berita pen...