Oleh: Iman, Naurah, Ainaa, Khaleda, Phan Rennie, Norsyafiqah
Sejak kebelakangan ini, seluruh
negara telah digemparkan dengan berita penyakit berjangkit, COVID-19 yang
semakin menular dan berterusan secara global yang berpunca daripada koronavirus
sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Kita dapat menyaksikan
peningkatan kes-kes pandemik ini di seluruh negara dan amat membimbangkan ramai
pihak terutama rakyat Malaysia. Pada hari ini, Malaysia telah mencatatkan rekod sebanyak 7,604 kes
kumulatif dan sebanyak 115 kes kematian disebabkan oleh COVID-19. Penyakit
berjangkit dikategorikan sebagai subset penyakit-penyakit yang boleh ditularkan
dan boleh berjangkit dengan orang lain. Ia juga dapat merebak dengan pantas
melalui titisan udara dan juga melalui sentuhan fizikal. Hal ini perlu diambil
serius kerana ia umpama duri dalam daging yang dapat memusnahkan kita dalam
senyap. World Health Organization (WHO)
juga telah memberikan kenyataan bahawa kes COVID-19 ini tidak akan ada penawarnya
dan masyarakat perlu bersedia untuk hidup dalam norma baharu.
Walaubagaimanapun, kita sewajarnya mengenal pasti strategi terbaik untuk
memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi di masa akan datang. Persis kata
mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.
Pada tahun 2018, World Health Organization (WHO) telah
mengenal pasti senarai penyakit yang dianggap sebagai keutamaan untuk
penyelidikan lebih lanjut yang disebut sebagai R&D Blueprint. Salah satu
penyakit ini hanya disebut sebagai ‘penyakit X’. Penyakit misteri yang belum
diberi nama itu telah disenaraikan bagi menunjukkan bahawa kemungkinan akan
wujud penyakit di masa hadapan, iaitu COVID-19 yang sedang dihadapi oleh semua
masyarakat seluruh dunia kini, yang harus disiapkan oleh organisasi penyelidikan
dengan sebaik mungkin. R&D Blueprint diaktifkan adalah untuk mempercepat
diagnostik, vaksin, dan terapi untuk koronavirus novel ini. Pada 30 Januari
2020, berikutan cadangan Jawatankuasa Kecemasan, Ketua Pengarah WHO menyatakan
bahawa wabak tersebut sebagai Public
Health Emergency of International Concern (PHEIC). Pada 11 hingga 12
Februari 2020, para saintis dunia kemudian telah bertemu di Ibu Pejabat
Organisasi Kesihatan Dunia di Geneva untuk menilai tahap pengetahuan terkini
mengenai virus baru ini, menyetujui persoalan penyelidikan kritikal yang perlu
diwajibkan segera, dan mencari jalan untuk mempercepat dan membiayai
penyelidikan yang utama bagi mengurangkan wabak ini. Perbincangan tersebut
membawa kesepakatan mengenai dua tujuan utama iaitu tujuan pertama adalah
mempercepat penyelidikan inovatif untuk membantu membendung penyebaran wabak
dan memudahkan perawatan bagi mereka yang terjejas. Seterusnya, tujuan kedua
adalah untuk menyokong keutamaan penyelidikan global dengan harapan dapat belajar
dari tindak balas pandemik semasa untuk lebih bersedia menghadapi wabak yang
tidak dijangka seperti COVID-19 ini.
Selain itu, bagi memastikan COVID-19
tidak berlaku di masa akan datang adalah dengan meneruskan pelaksanaan Program
Vaksinasi. Vaksin adalah sejenis agen yang bertindak untuk merangsang sistem
pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia.
Kebanyakan penyakit berjangkit boleh menyebabkan kecacatan atau kematian,
tetapi dengan adanya teknologi, vaksin dicipta bagi mengatasi masalah tersebut.
Imunisasi vaksin secara suntikan sama ada melalui otot, di bawah kulit atau
melalui mulut adalah cara paling efektif mencegah dan mengurangkan penyakit
berjangkit. Ketua Hal Ehwal Saintifik dan Kesihatan Awam, Hal Ehwal Perubatan Global
GlaxoSmithKline (GSK Vaksin) di Belgium, Dr Otavio Cintra, berkata, “Vaksin
berupaya mencegah penyakit dan pengambilan dalam kelompok masyarakat yang besar
membolehkan sesuatu komuniti itu memiliki kehidupan yang sihat”.
Walaupun belum adanya vaksin untuk
COVID-19, program vaksinasi berskala besar pada umumnya sangat efektif dalam
meminimumkan kadar penyakit. Oleh yang demikian, pelbagai pihak antarabangsa
kini berlumba-lumba dalam penghasilan vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19.
Penghasilan vaksin yang selamat digunakan manusia biasanya mengambil masa
bertahun, namun ahli virologi Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit percaya,
proses itu boleh dipercepatkan. Hal ini dapat dilihat apabila beliau berkata
bahawa “Kemajuan teknologi membolehkan kita menghasilkan vaksin cubaan (candidate vaccine) dalam masa beberapa
minggu sahaja, berbanding kaedah tradisional yang mengambil masa bertahun”.
Walaupun vaksin cubaan dapat dihasilkan dalam beberapa minggu sahaja, proses
penilaian untuk keselamatan penggunaannya ke atas manusia tetap akan mengambil
masa yang lama. Pakar imunologi Datuk Dr Musa Nordin berkata walaupun terdapat
keperluan mendesak untuk menghasilkan vaksin COVID-19 dengan segera, harus
diingatkan penghasilan vaksin merupakan proses yang membabitkan kos dan risiko
tinggi. Beliau juga berkata, “Secara puratanya, ia mengambil masa sepuluh tahun
dari tempoh ujian pra-klinikal ke Fasa 1-3 ujian klinikal sebelum keberkesanan
dan keselamatan sesuatu vaksin itu dapat dibuktikan. Hanya selepas itu
badan-badan penyelia dapat meluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia.
Bagaimanapun, pengalaman dalam penghasilan vaksin cubaan bagi MERS dan SARS
dapat membantu mempercepatkan penghasilan COVID-19”.
Bagaimanakah vaksin mampu mencegah
penularan COVID-19? COVID-19 dikategorikan sebagai keluarga virus Korona. Di
mana virus ini telah menyerang dunia sejak 1960. Nama wabak yang besar adalah
Common Flu, SARS, dan MERS-Cov. Dalam kes wabak yang baru muncul ini, vaksin
sangat membantu bagi mengurangkan COVID-19 daripada terus merebak. Jika dilihat
pada tahun 1952, polio epidemik merupakan salah satu penyakit berjangkit yang
mengakibatkan 3145 kematian di US, dan akhirnya pada tahun 1955, vaksin polio
terhasil. Fakta bahawa polio kini telah dihapuskan 99% adalah contoh yang jelas
mengenai kesan vaksinasi dalam mengawal penyebaran penyakit. Oleh itu, tidak
mustahil pandemik COVID-19 juga dapat dikawal penyebarannya melalui vaksin di
masa akan datang. Kata Oliver Rosenbauer, pegawai komunikasi untuk Inisiatif
Pembasmian Polio Global (GPEI), kepada Global Citizen, “Vaksin adalah salah
satu intervensi kesihatan yang paling efektif yang pernah dilakukan dengan
pelbagai cara dari sudut ekonomi atau kemanusiaan”. Justeru itu, pihak
kesihatan awam dan swasta global juga berperanan penting dalam memperkuat
sistem kesihatan di negara berpendapatan rendah dan memberikan vaksin serta
pengetahuan berkaitan kepentingan vaksin di seluruh dunia. Perkara ini dapat
menyumbang untuk berada dalam keadaan yang lebih selamat sekiranya wabak
penyakit baru berlaku serta bagi memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi di masa
akan datang.
Di samping itu, sistem kesihatan
juga hendaklah diperkasakan di seluruh dunia
tanpa mengira negara. Apa yang kita lihat sekarang ialah negara bersikap
pentingkan diri sendiri, dengan membandingkan kes yang berlaku dengan niat mahu
menunjuk-nunjuk bahawa negara mereka adalah lebih hebat, walhal tempat hanyalah
salah satu faktor yang mempengaruhi penyebaran penyakit ini. Kita juga dapat
melihat bahawa betapa sukarnya sesetengah negara mendapatkan keperluan wajib
bagi memberikan kesihatan kepada rakyatnya. Ini dapat dilihat dengan sesetengah
hospital kehabisan alatan pelindungan yang diperlukan untuk melindungi doktor
dan jururawat yang memerlukannya untuk merawat pesakit, dengan terpaksa
membasuh dan memakai semula peralatan itu, atau terus-menerus memakai peralatan
yang sama selama mereka bekerja tanpa rehat. Wabak ini menonjolkan bahawa
pentingnya sebuah badan kesihatan global, seperti World Health Organization (WHO), dalam membantu negara-negara dalam
menangani pandemik ini. Wabak ini juga menunjukkan betapa bahayanya wabak
berjangkit dan betapa pentingnya langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mengurangkan
penyebaran wabak ini di tempat-tempat awam.
Dengan berlakunya wabak ini, diharapkan bahawa semua negara dapat
membuka mata dan mula bersiap-siaga untuk berhadapan wabak yang mungkin berlaku
pada masa depan.
Beralih
kepada strategi yang terakhir, iaitu, melindungi alam semulajadi. Umum
mengetahui, antara punca utama penyebaran koronavirus ini adalah bermula
daripada jangkitan yang diperolehi melalui hidupan liar seperti kelawar dan
ular. Apabila seseorang itu memakan hidupan liar ini, hasilnya akan menyebabkan
berlakunya jangkitan virus daripada haiwan tersebut kepada manusia. Disebabkan
perkara kecil ini, sekurang-kurangnya 5.5 juta orang telah terjangkiti dan
lebih 350,000 kematian dicatatkan. Oleh itu, bagi mengawal jangkitan virus ini
daripada terus tersebar bagai tiada penghujungnya, kita perlulah memasang
strategi yang terakhir ini. Persoalannya, bagaimanakah strategi ini mampu
membantu kita dalam memastikan COVID-19 tidak berlaku lagi pada masa akan
datang?
Ekosistem dan sistem badan manusia
mempunyai fungsi yang hampir sama. Kedua-duanya memerlukan sumber dan
persekitaran yang bersih dan sihat bagi memastikan mereka mampu untuk melawan
penyakit sekaligus menjadikan populasi mereka terjamin. Tambahan pula, dengan
adanya ekosistem yang baik, ianya memberikan pelbagai manfaat kepada kehidupan
manusia seperti sumber air yang bersih, tanah yang subur dan juga sumber
makanan yang pelbagai. Namun, aktiviti manusia yang berlaku seperti pembalakan
haram dan perlombogan telah menjejaskan ekosistem yang sedia ada. Hal ini
menyebabkan hidupan liar terpaksa berkongsi habitat yang tersisa bersama-sama
lalu mengalami tekanan dan sakit serta bercenderung untuk lebih rapat dan
bersentuhan dengan manusia. Dalam hal yang berlaku sekarang ini, penyakit
antara hidupan liar dan manusia akan saling bertukar, seterusnya menjadikan
penyakit bawaan haiwan semakin kerap berlaku disebabkan oleh pemusnahan alam.
Untuk
melindungi alam semulajadi, pihak kerajaan dan jabatan yang terlibat perlulah
bertegas dalam usaha memelihara habitat hidupan liar ini daripada dicerobohi
oleh individu atau kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya
perkara ini masih berlaku, bukan hanya habitat hidupan liar makin terganggu dan
terancam, malah hal ini juga akan mengakibatkan perubahan iklim yang drastik
dan akan mempengaruhi penyebaran penyakit di seluruh dunia. Selain itu juga,
lebih daripada 1 juta spesis hidupan liar berisiko pupus akibat daripada
kegiatan manusia. Melihat kepada kesan ini, United
Nations (UN) akan merangka pelan untuk dijadikan panduan dalam usaha
pemuliharaan alam dalam jangka masa 10 tahun, di mana ianya merupakan tempoh
kita untuk melambatkan pemanasan global, melindungi ekosistem dan menyelamatkan
spesis yang terancam. Meskipun terdapat pelan dan penguatkuasaan undang-undang
dalam melindungi alam semulajadi ini, sebagai seorang warganegara yang
bertanggungjawab, kita perlulah memainkan peranan kita dengan turut bersama
menjaga alam semulajadi di sekeliling kita. Tahap kesedaran mengenai
kepentingan alam semulajadi perlulah dipupuk sedari awal lagi dalam diri setiap
individu. Maka, dengan wujudnya strategi yang terakhir ini, diharapkan agar
kita mampu untuk membendung penyakit ini daripada menyerang negara pada masa
akan datang.
Kesimpulannnya, pandemik COVID-19
yang merebak kepada lebih 200 buah negara dan mengakibatkan lebih 5 juta kes
pesakit di seluruh dunia telah mendatangkan pelbagai impak negatif kepada
manusia. Penularan wabak ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu,
tetapi juga mempengaruhi kehidupan sosial masyarakat serta mengancam sektor
ekonomi negara. Oleh itu, strategi-strategi seperti kajian dan penyelidikan
korona virus, pelaksanaan program vaksin, memperkasakan sistem kesihatan serta
melindungi alam semula jadi adalah sangat penting untuk mengawal dan mencegah
COVID-19 daripada berlaku lagi pada masa akan datang. Strategi-strategi ini
harus dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa walaupun situasi
COVID-19 telah bertambah baik. Hal ini demikian kerana sejarah kesihatan membuktikan
bahawa kebimbangan dan kecemasan akibat jangkitan pandemik sesuatu penyakit
tidak akan berpanjangan. Kebimbangan dan kecemasan tersebut akan bertukar
menjadi kealpaan dan sikap ambil mudah setelah berjaya membendung faktor
jangkitan penyakit dan mengurangkan faktor penyebabnya. Justerunya, sikap ambil
mudah ini akan kembali menjejaskan amalan hidup sihat manusia dan menyebabkan
program-program pencegahan gagal dilaksanakan secara berkesan.
RUJUKAN
Haliza
Abdul Rahman. 2020. Amalkan perkara asas cegah Covid-19. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/73737/KHAS/Pendapat/Amalkan-perkara-asas-cegah-Covid-19
[24 Mei 2020].
Kiley, P. 2020. Expert: To prevent pandemics like COVID-19, ‘take care of nature’.
Conservation International. https://www.conservation.org/blog/expert-to-prevent-pandemics-like-COVID-19-take-care-of-nature
[23 Mei 2020].
Kurlander, C. 2020. The Deadly Polio
Epidemic and Why It Matters for Coronavirus. https://www.discovermagazine.com/health/the-deadly-polio-epidemic-and-why-it-matters-for-coronavirus
[25 Mei 2020].
Lock, H. 2020. How Can We Prevent a
Pandemic Like COVID-19 From Happening Again? https://www.globalcitizen.org/en/content/how-prevent-covid-19-pandemic-happening-again/
[26 Mei 2020].
Mutakhir.
2020. Vaksin Covid-19 dijangka siap awal. Harian
Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/02/543780/vaksin-covid-19-dijangka-siap-awal
[25 Mei 2020].
Sariha
Mohd Ali. 2019. Vaksin Cegah Penyakit. BHOnline.
https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/12/638520/vaksin-cegah-penyakit
[26 Mei 2020].
Wikipedia.
2020. COVID-19 pandemic in Malaysia. https://en.wikipedia.org/wiki/COVID-19_pandemic_in_Malaysia [27 Mei 2020].
Worldometers.
2020. COVID-19 Coronavirus Pandemic. https://www.worldometers.info/coronavirus/ [27 Mei 2020].
World
Health Organization. 2020. R&D Blueprint and COVID-19. https://www.who.int/teams/blueprint/covid-19 [28 Mei 2020].
No comments:
Post a Comment